Yahoo Messenger News

Politik
News Update :

AiU: Adakah kementerian pendidikan sudah 'dibeli'?

Rabu, 16 April 2014

KUALA LUMPUR: PAS hairan mengapa tiada satu kenyataan keras dibuat terhadap pentadbiran Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) ekoran perlanggaran jelas terhadap Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata "seperti ada sesuatu yang tidak kena" dalam sistem pendidikan negara.

"Kementerian harus tampil dengan satu kenyataan lebih keras, tak cukup hanya sekadar 'akan bincang'.

"Saya tak tahu kalau kementerian sudah 'dibeli' oleh AiU, atau menteri dan timbalan menteri juga 'dibeli' oleh AiU," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penutupan AiU dan notis penutupan yang didakwa tidak mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Menurut peruntukan akta itu, notis penutupan sepatutnya dibuat dalam tempoh setahun sebelum ditutup.

Semalam enam daripada siswa dari kampus yang diurus Yayasan Albukhary, milik hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary itu, memfaikan saman di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Alor Setar atas isu sama.

Mereka menamakan AiU sebagai defendan pertama manakala Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Mereka mendakwa hanya diberitahu secara lisan pada Februari lalu bahawa universiti itu akan ditutup dan perlu dikosongkan selewat-lewatnya Jun ini.

AiU selama ini dikenali sebagai sebuah universiti yang banyak mengubah kehidupan golongan kurang berkemampuan kerana beroperasi secara wakaf iaitu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penuntut yang rata-rata daripada golongan susah dari seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, pihak kerajaan tidak boleh memilih bulu dalam bertindak biarpun Syed Mokhtar adalah individu yang memonopoli banyak sektor strategik negara.

"Perlu ambil tindakan tegas terhadap AiU tanpa mengira ia milik Syed Mokhtar.

"Kerajaan tak boleh pilih bulu," jelas beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Yayasan Albukhary diasaskan pada 1996 atas prinsip taqwa dan ihsan.

Yayasan itu mula mendapat perhatian apabila membantu orang Islam dan komuniti terpinggir akibat kemiskinan, perang dan bencana alam termasuk mempromosi kebudayaan Islam dan biasiswa bagi orang Islam dan bukan Islam.
Share this Article on :

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

© Copyright Fatamorgana Cyber 2010 -2011 | Design by Herdiansyah Hamzah | Published by Borneo Templates | Powered by Blogger.com.